Wednesday 24 August 2011

Program GO GREEN

Program ‘Go Green’ merupakan salah satu program terbesar yang telah diperkenalkan di Kolej Kediaman E sebagai landasan untuk mengatasi salah satu daripada isu global yang sering diperkatakan sekarang. Program ini diadakan untuk para pelajar melibatkan diri mereka dalam hidup yang mampan dan prihatin terhadap alam sekitar. Pengenalan program ini dapat melatih para pelajar untuk menjalankan gaya hidup mementingkan alam sekitar seperti membuat pilihan untuk menggunakan semula barang-barang terpakai, memulihara air dan mengurangkan pencemaran udara.



Selain daripada itu, peranan penting program ini adalah melatih para pelajar untuk mengurangkan pengunaan tenaga terutamanya elektrik dan air. Pelajar haruslah mematikan lampu apabila tidak digunakan dan menjimatkan penggunaan air dengan mengurangkan penggunaan air seperti menutup air semasa sedang bersabun dan menghidupkan kembali ketika membilas.



Program ini juga melibatkan kawasan persekitaran seperti landskap dan juga kawasan kafeteria. ‘Go Green’ juga memfokuskan untuk mengurangkan penggunaan plastik di kafeteria. Sebagaimana yang sudah maklum plastik merupakan penyumbang kepada masalah sampah di negara ini serta bertindak sebagai pembawa penyakit. Plastik mempunyai bahan kimia yang berbahaya. Semasa kita membeli makanan yang panas, bahan kimia tersebut akan menyerap masuk ke dalam makanan yang dibeli. Hal ini boleh membahayakan kesihatan para pembeli.



Penjagaan landskap di kawasan Kolej Kediaman E melibatkan kawasan kolam. Salah satu fungsi program ini adalah untuk membantu mengurangkan kesan karbon di kawasan sekitar kolej kediaman dan menjadi salah satu strategi untuk melindungi dan memelihara alam sekitar.

Setelah dirasmikan pada April 2011 Program ‘Go Green’ memulakan langkah pertama mereka dengan meletakkan sebuah poster besar di kafeteria. Selain daripada itu, program ini juga mengagihkan tong-tong sampah kitar semula di setiap aras blok yang terdapat di Kolej Kediaman E. Mereka juga menampal poster-poster di semua bilik untuk menyedarkan para pelajar mengenai penjimatan air dan tenaga. Program ini juga menarik minat dari pihak SIFE untuk bekerjasama dengan pihak program ‘Go Green’ untuk menyelamatkan kolam yang berada di Kolej Kediaman E.

Pada mulanya kolam tersebut telah tercemar oleh sisa-sisa minyak dari gerai bersebelahan dengan kolam berkenaan. Kedua-dua pihak ini telah membuat ‘mudball’ dan melemparkan ‘mudball’ tersebut ke dalam kolam. ‘Mudball’ tersebut mempunyai sejenis mikroorganisma yang bertindak menyerap kesemua minyak di permukaan kolam sekaligus membersihkan dan menceriakan kolam tersebut. Selain daripada peserta program dan pihak SIFE , pihak Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E juga turut serta membantu melemparkan ‘mudball’ tersebut ke dalam kolam. Tindak balas ‘mudball’ tersebut berlaku dalam masa 3 bulan.



Setakat ini pihak jawatankuasa program tersebut hanya menjalankan beberapa aktiviti, namun aktiviti program ini tidak akan hanya berhenti setakat ini. Program ini merupakan program masa jangka yang panjang serta melibatkan pelbagai pihak sebagai pemantau dan juga perlaksana. Pemantau terdiri daripada kalangan felo, JAKMAS, dan juga Majlis Ketua-Ketua Blok, manakala perlaksana terdiri daripada kalangan pelajar itu sendiri. Usaha sama daripada semua pihak amatlah diperlukan supaya visi dan misi program ini dapat dicapai. Pengenalan program ini telah berjaya melahirkan lagi satu nama untuk Kolej Kediaman E, iaitu Kolej Hijau. Diharap persekitaran Kolej Kediaman E akan menjadi damai dan hijau sebagaimana objektif yang ingin dicapai oleh Program ‘Go Green’. Peranan daripada semua pihak amat diperlukan supaya perjalanan serta perancangan program ini tidak akan berhenti di tengah jalan.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan sebarang komen, cadangan, atau pendapat.. Setiap kata-kata anda amat kami hargai.. Mohon supaya menggunakan bahasa yang sopan..